SHARIFAH AINI BAWA ANAK-ANAK BUAT UMRAH oleh Huzz (URTV, 15 Januari 2000) |
Katanya ketika memberikan albumnya, "Saya takut ada yang salah anggap saya ingin menunjuk-nunjuk. Saya ke sana untuk beribadah, sebab itu kalau boleh saya ingin senyapkan perkara ini. Sebenarnya saya sentiasa sempat bertemu dengan anak-anak angkat saya yang sedang menuntut di Madinah dan Jordan. Tidak perlulah saya menceritakan secara mendalam tentang mereka tapi saya sangat bahagia, setiap kali ke sana saya dikunjungi oleh mereka. Begitulah tiada yang indah dalam hati seorang ibu apabila melihat anak teruna saya bergegas cepat mahu ke masjid untuk menunaikan ibadah. Sungguhpun saya sibuk dengan dunia menyanyi, saya tidak lupa ingatkan anak-anak mengenai agama semenjak kecil. Tidak terkecuali perasaan bahagia saya di Tanah Suci apabila kak Bam (bekas Pengarang URTV, Bahyah Mahmood) turut sama dalam rombongan kami. Kak Bam yang saya kenali semenjak menjadi artis sentiasa sudi berada di sisi saya di dalam keadaan senang atau susah. Saya juga ditemani oleh Raja Salmah yang telah saya anggap macam ibu sendiri."
"Banyak juga harapan saya sebagai seorang ibu untuk anak-anak yang kian membesar. Soal saya sebagai penghibur dan penyanyi itu urusan saya untuk hidup, tapi soal amalan adalah soal peribadi antara saya dengan Allah. Saya selalu ingat yang Allah benci kepada mereka yang riak apalagi menghukum orang lain, kerana saya percaya Allah sangat mengenal setiap hamba-Nya dan Dialah Maha Mengetahui dan sebaik tempat kita mengadu nasib. Saya yakin setiap kali mengangkatkan doa hanya Allah sajalah yang memahami dan mengetahui naluri dan perasaan hamba-Nya." |